Maybank kini menjangkakan peningkatan sebanyak 30% pada transaksi pemberian eDuit Raya pada tahun ini.
Ini berikutan pematuhan saranan norma baharu yang telah dikuatkuasakan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negara sehingga 9 Jun kelak.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan mengatakan setakat ini lebih RM33 juta telah dihantar dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sejak ia dilancarkan pada tahun 2015.
Setelah Raya QR diperkenalkan pada tahun 2018, jumlah transaksi meningkat lebih 10 kali ganda, sementara nilai transaksi pula meningkat hampir dua kali ganda. Manakala petumbuhan pengguna transaksi tersebut telah memperlihatkan lebih daripada 700,000 transaksi eDuit Raya.
Untuk makluman pengguna, eDuit Raya dapat dilakukan pada Raya QR di Aplikasi Maybank2u dengan kaedah transaksi P2P iaitu mengimbas kod QR penerima. Ataupun melalui nombor telefon menggunakan dompet digital MAE di Aplikasi Maybank2u.
Selain eDuit Raya – Maybank turut memperluaskan senarai badan zakat dengan memperkenalkan perkhidmatan QRPay Zakat Fitrah melalui Maybank2u dan Maybank QRPay dengan cara yang selamat dan selesa.
Menerusi pilihan nirtunai ini, Datuk Hamirullah menjangkakan pembayaran Zakat Fitrah melalui Maybank akan meningkat lebih dari 100% tahun ini.