Artikel

Selepas 13 Tahun, Jack Ma Mengucapkan Selamat Tinggal Kepada SoftBank

SoftBank Group hari ini (18 Mei) mengesahkan bahawa Jack Ma, Pengasas bersama Alibaba akan meletakkan jawatannya dari lembaga pengarah kumpulan terbabit.

Tempoh pengunduran diri Jack Ma akan mula berkuat kuasa pada 25 Jun kelak iaitu pada tarikh mesyuarat agung tahunan kumpulan tersebut.

Susulan itu, terdapat tiga pelantikan baharu akan diusulkan kepada lembaga SoftBank pada mesyuarat itu nanti. Antara yang diperkatakan adalah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan – Yoshimoto Goto.

Pengunduran diri Jack Ma setelah 13 tahun bersama SotfBank ini, dilihat mengikuti jejak langkah  Tadashi Yanai, iaitu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo – yang telah meletakkan jawatannya pada akhir tahun lalu bagi memberi tumpuan kepada perniagaan fesyennya.