Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 10 orang yang tidak hadir dalam saringan melibatkan warga parlimen, termasuk ahli-ahli parlimen (MP) sendiri.
“Terdapat 960 orang jumlah warga parlimen. Ini termasuk warga kerja dan juga ahli-ahli parlimen,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham.
“Dari 960 ini, 950 telah membuat saringan, manakala 10 tidak hadir.
“Dari 950 ini, terdapat 948 kes negatif. Dua kes masih menunggu keputusan dan mungkin kita akan dapat petang ini.
“Dari 10 yang tidak hadir, 8 adalah warga kerja parlimen, dan 2 adalah MP.
“Antara sebab mereka tidak hadir adalah kerana mereka sedang dikuarantinkan akibat kontak rapat dengan orang positif,” tambah beliau lagi.
Pengemaskinian ini diberikan oleh KKM susulan ujian saringan COVID-19 yang telah dibuat oleh warga parlimen berikutan sesi parlimen pertama tahun ini yang akan dibuat esok (18 Mei).
Ini adalah sesi pertama yang akan dilakukan tahun ini tidak akan melibatkan apa-apa persidangan. Takwim esok hanya akan melibatkan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung sahaja. Upacara lain tidak dijadualkan selepas itu.