Artikel

Penularan COVID-19 Semakin Perlahan, Trend 30 Hari Kes Positif Turun

Kes penularan COVID-19 di komuniti Malaysia semakin perlahan hari demi hari.

Dari segi statistik, angka pertumbuhan hari-ke-hari (day-to-day atau D2D) bagi tempoh 30 hari yang lampau (16 April hingga 16 Mei) adalah 32.6%. Iaitu 5,182 kes pada 16 April berbanding 6,872 kes pada 16 Mei.

Ini adalah sangat baik berbanding D2D 16 Mac hingga 16 April iaitu 837%. Iaitu 553 kes pada 16 Mac berbanding 5,182 kes pada 16 April.

Berdasarkan data yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), trend pertumbuhan kes positif D2D telah jatuh dibawah paras 0.2% pada 16 Mei.

Berbanding dengan 30 hari lalu, sekitar 16 atau 17 April, D2D adalah sekitar 2.5%

Pertambahan kes pada awal bulan Mei adalah kerana kes import yang KKM dapati. Seperti contoh, 3 Mei mencatatkan 122 kes positif harian baharu, tetapi daripadanya, 52 kes (43%) adalah kes import.

Ini tidak bermaksud Malaysia telah menangani wabak COVID-19 sepenuhnya.

“Penularan wabak ini akan berterusan. Kita harus sedia menghadapi situasi di mana wabak ini akan terus menular di komuniti sekurang-kurangnya setahun, atau mungkin hingga dua tahun,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.