Artikel

17 Kes Baharu, Iaitu 6 Kes Import Dan 11 Kes Penularan Tempatan – KKM

Sehingga 15 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 17 kes, baharu yang telah dilaporkan. Oleh itu, jumlah kes positif COVID- 19 di Malaysia adalah sebanyak 6,872 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,247 kes.

Ingin dimaklumkan daripada 17 kes baru yang dilaporkan, enam (6) adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala sebelas (11) kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima (5) bukan warganegara Malaysia. Sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, lima (5) kes memerlukan bantuan pernafasan. Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 113 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes): oKes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun.

Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau adalah merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun telah bercuti sakit disebabkan barah).

Beliau telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot. Beliau didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang.

Orang ramai juga diingatkan supaya turut patuh kepada 3C dan 3W seperti disarankan oleh KKM:

Elakkan 3C: iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space), dan elak bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).

Amalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut (face mask) di tempat awam atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:

  • Elak bersalaman / bersentuhan;
  • Amalkan etika batuk dan bersin;
  • Lakukan aktiviti disinfeksi;
  • Duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja;
  • Dapatkan rawatan segera jika bergejala.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.