Artikel

[RENCANA] Jangan Gusar Walau Ekonomi Susut, Fokus Pada Pemulihan

Ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan suram iaitu 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

Walau bagaimanapun, angka ini disifatkan telah mengatasi jangkaan umum rata-rata penganalisis yang mengunjurkan penguncupan antara -0.2 peratus hingga -4.2 peratus.

Bagi saya, ini sudah dijangkakan jadi tiada keperluan untuk kita sebagai rakyat panik atau berasa gusar.

Impak pandemik Covid-19 bukan sahaja melemahkan ekonomi Malaysia tetapi juga seluruh dunia.

Malah, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sendiri telah dilaporkan berkata bahawa penularan virus itu telah mencetuskan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku dan pihaknya mengunjurkan ekonomi negara akan menguncup pada suku kedua 2020.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 sememangnya memberi impak kepada ekonomi.

“Malaysia akan berdepan penguncupan pada suku kedua 2020, tetapi akan pulih semula pada suku ketiga 2020,” kata beliau.

Jadi, mesej ini harus diambil secara optimis kerana tumpuan harus diberikan pada proses pemulihan.

Walaupun banyak perniagaan terpaksa gulung tikar akibat penularan Covid-19, harapan kita adalah semua pihak dapat bermula kembali atau mencari alternatif bagi mengukuhkan semula ekonomi negara.

Sementara itu, Kerajaan harus terus menyediakan platform dan insentif supaya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan perniagaan lain secara umumnya dapat merancakkan kembali ekonomi negara.