Artikel

[RENCANA] Henti Persoal Legitimasi, Utamakan Masalah Sebenar Rakyat

Pandemik Covid-19 belum lagi selesai tetapi perang politik sudah kembali mendominasi arena berita negara.

Malah, ada yang katakan bahawa perang politik tidak pernah berakhir di Malaysia ini dan sukar bagi saya untuk tidak setuju dengan pendapat ini.

Episod terbaru saga politik Malaysia adalah berkenaan sidang Parlimen yang hanya akan diadakan selama sehari pada Isnin depan.

Di pihak Kerajaan, sidang ini dibuat sehari untuk memastikan kita mematuhi Perlembagaan Negara iaitu Parlimen perlu bersidang dalam masa enam bulan dari tarikh terakhir sesi diadakan.

Selain itu, hujah mereka turut menyertakan penularan pandemik Covid-19 sebagai salah satu sebab ia perlu dipendekkan.

Walaupun ada rasional mereka yang boleh dipersoal, kekeluhan saya sebenarnya tertumpu kepada pihak pembangkang yang lebih gemar mempersoal legitimasi Kerajaan berbanding memastikan pentadbiran pihak eksekutif berjalan dengan betul.

Mengapa saya berkata demikian?

Pada kala desakan dibuat untuk mengadakan sidang Parlimen lebih dari sehari, ada Ahli Parlimen dari kalangan pembangkang yang menghantar usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ternyata dengan risiko usul ini didebat di Parlimen, sukar untuk Kerajaan mengutamakan pengurusan impak Covid-19 dalam hal ehwal pentadbiran.

Betul. Legitimasi Kerajaan Perikatan Nasional boleh disoal. Namun cuba fikir siapa yang meletakkan figura-figura utama di Parlimen pada PRU14?

Siapa yang meletakkan Datuk Seri Azmin Ali di Gombak? Siapa yang meletakkan Zuraida Kamaruddin di Ampang? Siapa yang meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh?
Semua mereka bertanding dan disokong Pakatan Harapan sendiri.

Jadi, nasihat saya kepada Pembangkang, hentilah sebentar asakan mengenai legitimasi Kerajaan dan fokus kepada masalah sebenar rakyat iaitu impak ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dan Covid-19.

Untuk yang lain, biarlah rakyat yang menentukan siapa mereka inginkan untuk menganggotai pentadbiran Kerajaan pada PRU 15 nanti.