Susulan makluman pemergian Datuk Haji Lambak Mohamed iaitu pengeluar produk Kicap Kipas Udang negara baru-baru ini, telah mengejutkan ramai pihak.
Rata-rata rakyat negara mula menzahirkan tanda penghargaan mereka kepada beliau sepanjang penglibatannya dalam penghasilan produk makanan negara.
Oleh itu mari kita menyingkap serba ringkas berkenaan tercetusnya idea penghasilan produk kicap kegemaran ramai ini.
Sebenarnya singkatan HABHAL’S yang tertera pada produk kicap tersebut adalah merujuk kepada Haji Ahmad Bin Haji Abdul Latiff, iaitu merupakan pengasas awal Kicap Kipas Udang ini. Beliau merupakan saudagar kicap dan anak kepada seorang ulamak terkenal di Tengkera, Melaka.
Bagaimanapun, setelah ketiadaan Haji Ahmad – perniagaan kicapnya telah di ambil alih oleh anak sulungnya, iaitu Haji Zaini merupakan seorang guru di Pulau Bukom, Singapura. Setelah berkahwin, Haji Zaini memutuskan untuk membuka kilang kicap di Singapura.
Setelah itu, pada tahun 1986 – syarikat Zara Foodstuff Industries milik Datuk Lambak telah membeli syarikat HABHAL’S. Di sinilah bermulanya perkembangan komersial pada pengeluaran produk Kicap Kipas Udang.
Beliau telah bertindak memindahkan kilang pengeluaran kicap tersebut ke Tampoi, Johor. Tindakan itu bagi mengurangkan pengenaan kos perbelanjaan. Ini kerana, penjimatan kos yang lebih rendah dapat dilakukan berbanding kos kilang di Singapura yang jauh lebih mahal. Untuk makluman, Datuk Lambak Mohamed memula perniagaannya dengan bermodalkan RM40,000 sahaja.
Hasil usaha keras beliau, produk kicap ini telah mula mendapat perhatian umum, di mana pada peringkat awal beliau telah mencatatkan jualan bulanan sebanyak RM120,000.
Peringkat seterusnya, apabila Datuk Lambak berjaya memperoleh sasaran pulangan, beliau mula memperkemaskan strategi dengan memperuntukkan perbelanjaan pada penyelidikan, promosi dan meningkatkan pembangunan kualiti produk kicap tersebut. Tujuan strategi ini, adalah untuk memperbaharui dan memperbaiki kelemahan produk kepada pengguna.
Proses itu termasuklah penambahbaikan pada pembungkusan kicap yang lebih moden, selamat dan mesra pengguna.
Kini, hasil jualan bagi produk Kicap Kipas Udang telah mencapai sejumlah RM6 juta bagi jualan bulanan. Rentetan daripada pencapaian ini Datuk Lambak mula mempelbagaikan keluaran produknya kepada variasi sos cili, sos tomato, dan seri kaya pada pasaran.
Malah, apa yang menarik pasaran Kicap Kipas Udang ini tidak lagi hanya tertumpu pada permintaan dalam negara sahaja namun ia turut dipasarkan ke peringkat antarabangsa, seperti ke Asia Barat dan negara-negara Asean. Sememangnya pelan pemasaran ini membuahkan hasil yang lumayan kepada empayar Datuk Lambak.
Hasilnya, beliau telah berjaya memperolehi pulangan jualan syarikat bagi tahunan dengan kutipan RM82 juta setahun. Kejayaan ini adalah satu kebanggaan bagi warga Malaysia.
Siapa sangka di usia 67 tahun, Datuk Lambak masih gigih mencari peluang kejayaan untuk masa hadapannya. Namun hasil dorongan prinsip beliau, beliau berjaya menempa nama sebagai salah seorang pengeluar produk tersohor di Malaysia. Hal ini bukan sekadar kelazatan produk kicap yang mengamit deria rasa pengguna, namun ia turut memberikan inspirasi kepada semua individu untuk memulakan langkah kejayaan mereka.