Susulan penularan kes COVID-19 di kalangan peserta perhimpunan di Seri Petaling, KKM telah menjalankan pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan pendekatan tertumpu (targeted approach) kepada madrasah- madrasah tahfiz iaitu saringan dan persampelan pelajar, guru dan kakitangan.
Ianya terdiri daripada madrasah, sekolah pondok serta kontak rapat yang terlibat.
Sehingga kini, seramai 19,209 orang pelajar, guru dan kakitangan telah dikenal pasti dari sebanyak 370 buah madrasah dan pusat tahfiz di seluruh Malaysia.
Daripada jumlah keseluruhan ini sebanyak 12,384 sampel telah diuji (iaitu 64.5 peratus) dan keputusannya adalah 635 kes positif, 10,755 kes pula negatif dan 994 kes masih lagi menanti keputusan.
Berdasarkan keputusan saringan ini, didapati kadar positif di kalangan kumpulan berisiko ini adalah 5.1 peratus.
Tren kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain di kalangan kumpulan ini adalah semakin tinggi.
Sehubungan itu, KKM telah membangunkan beberapa saranan berikut sebagai pelan tindakan, di mana pelajar madrasah atau tahfiz yang sudah pulang ke rumah ibubapa atau penjaga, dimohon menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Klinik Kesihatan atau Hospital saringan KKM yang berdekatan untuk menjalani persampelan ujian COVID-19.
Bagi mereka yang belum pulang, diminta supaya kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz, serta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Klinik Kesihatan saringan terdekat agar dapat dijalankan aktiviti persampelan.
Oleh itu, kerjasama semua pihak yang terlibat amatlah digalakkan. Tindakan ini bagi memudahkan proses pemantauan KKM dapat dijalankan dengan baik pada pendekatan tertumpu yang berkaitan.