Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah memaklumkan, hasil penurunan kebolehjangkitan COVID-19 ini berkesan disebabkan pelaksanaan pendekatan kaedah permodelan dan ramalan yang telah dilakukan oleh Institut Kesihatan Negara (NHI).
Garisan hitam pada graf ini menunjukkan kes harian sebenar yang telah dilaporkan KKM, dan ianya didapati bertepatan dengan unjuran seperti di palang biru yang merupakan jangkaan kes harian
oleh NIH KKM.
R0 (R naught) adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak di dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes tersebut.
Misalnya, jika nilai R adalah 4, ini bermakna bahawa setiap seorang kes positif boleh menyebarkan penyakit ini kepada 4 orang yang lain.
Nilai R boleh menurun sekiranya langkah-langkah pencegahan yang tepat dijalankan secara berterusan di dalam masyarakat. Begitu juga, nilai ini boleh meningkat semula sekiranya masyarakat
leka dan langkah pencegahan tidak diendahkan.
Menurunkan nilai R ke kurang daripada 1 secara berterusan, akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.
Jika dilihat semula pada graf permodelan dan ramalan KKM ini, nilai R0 (R naught) pada permulaan PKP (18 Mac 2020) adalah 3.5. Nilai R ini telah berjaya diturunkan sehingga 0.3, iaitu susulan impak positif tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan serta dibantu juga dengan pematuhan oleh rakyat.
Sekiranya semua pihak termasuk peniaga, majikan, pekerja dan juga masyarakat umum kekal patuh kepada PKPB dan Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan Kerajaan. Nilai R ini akan terus menurun dan hasilnya wabak COVID-19 akan dapat ditamatkan.
Namun begitu, sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada SOP yang ditetapkan, nilai R akan meningkat semula, iaitu seperti yang dapat dilihat di garisan terputus berwarna merah. Ini akan mengakibatkan jumlah kes harian naik semula di dalam Negara (seperti di palang merah).