Artikel

Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Kumpulan Baharu Prasarana

Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman kini dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan baharu Prasarana Malaysia Berhad, bekuat kuasa sejak 11 Mei lalu.

Pelantikan beliau adalah mengantikan kedudukan Tan Sri Datin Paduka Zaharah Ibrahim, yang telah meletakkan jawatan pada 7 Mei lalu.

Untuk makluman, Dato’ Sri Haji Tajuddin merupakan graduan Universiti Malaya (UM) dengan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1972 dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun 1972.

Setelah berkhidmat selaku Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam, beliau beralih kepada sektor swasta bekerja sebagai Pengurus Jualan di Syarikat Cycle & Carriage (M) Sdn Bhd, pemegang franchise dan pengedar tunggal kereta buatan Mitsubishi Motors.

Selain itu, beliau turut terlibat dalam pembangunan hartanah dan pendidikan tinggi swasta serta turut memegang pelbagai jawatan penting dalam sektor korporat.

Antaranya adalah Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Perak (2005 – 2008), Pengarah Asia Brands Corporation Berhad (2006 – 2007), Pengarah Maju Perak Holdings Berhad (2009 – 2011) dan Pengerusi FELCRA Berhad (2008 – 2013).

Beliau kini telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Salak, dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani antara 2013 dan 2018.