Anda adalah wira yang tidak didendang, dan KKM sentiasa menghargai jasa dan bakti anda semua.
Itulah kenyataan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada semua jururawat di negara kita.
“Sempena Hari Jururawat Sedunia pada hari ini iaitu, 12 Mei 2020, pihak KKM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jururawat di Malaysia,” kata DG Hisham.
“Sambutan tahun ini bertemakan “A Voice to Lead: Nursing The World To Health”, sememangnya bertepatan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan semua jururawat yang sentiasa cekal dan tabah menghadapi cabaran penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
“Anda adalah wira yang tidak didendang, dan KKM sentiasa menghargai jasa dan bakti anda semua,” tambah beliau.
LATAR BELAKANG
Pengasas kejururawatan moden Florence Nightingale (12 Mei 1820 – 13 Ogos 1910) telah mencatatkan sejarah kejururawatan melalui sumbangannya semasa peperangan Crimea (1852 – 1854).
Tanggal 12 Mei, iaitu hari lahir Nightingale diangkat menjadi Hari Kejururawatan Sedunia bagi memperingati usaha beliau dalam mempromosikan kerjaya ini.
Beliau mendapat gelaran “Lady With The Lamp” kerana dengan bersuluhkan sebuah pelita dalam
cuaca yang gelap dan sejuk beliau merawat dan menjaga tentera-tentera yang tercedera dan berada di dalam kesakitan.
Bermula dari peperangan itu wanita-wanita yang mempunyai pendidikan tinggi dan mempunyai sifat terpuji diberi latihan dalam bidang kejururawatan.
Seterusnya bidang kejururawatan yang formal terus berkembang pesat dan diberi pengiktirafan di seluruh dunia.
Menurut risalah ‘Kerjaya Jururawat Di Malaysia” terbitan KKM, kerjaya jururawat dipenuhi juga dengan lelaki mahupun wanita. Dan proses untuk menjadi seorang jururawat kini adalah berstruktur dan mempunyai langkah yang luas dalam bidang pengkhususan.
Kerjaya kejururawatan juga boleh dipenuhi di kedua-dua sektor awam dan juga swasta, dan ianya sentiasa diperlukan di dalam negara, mahupun di luar negara.
Nota tambahan:
Kepada semua jururawat di negara ini, kami di Rnggt sayangi kamu, dan doakan agar tuhan membalas jasa kamu dengan sebaiknya.