Artikel

16 Kes Positif Sehari, Kadar Terendah Sejak Ombak Kedua Lebih 60 Hari Lalu

16 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, 12 Mei 2020.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ini merupakan kes harian terendah yang pernah dicatatkan sejak ‘ombak kedua’ bermula.

“Sehingga 12 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 16 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana sembilan (9) kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” kata Dr Hisham.

“Ini merupakan kes harian terendah yang pernah dicatatkan sejak kebelakangan ini. Ingin dimaklumkan juga, bahawa daripada 16 kes baharu yang dilaporkan hari ini, terdapat tiga (3) kes import dan 13 kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,742 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,410 kes,” tambah beliau.

Kes Aktif sebanyak 1,410 adalah kadar terendah sejak 24 Mac 2020.