Laporan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini (12 Mei) memaklumkan proses Bantuan Prihatin Nasional (BPN) fasa kedua kini berada pada tahap 49%.
Seramai 5.79 juta penerima akan menerima manfaat sejumlah RM2.63 bilion tersebut daripada pembayaran fasa kedua ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Zafrul pihaknya akan memastikan tempoh pembayaran tersebut akan disalurkan mengikut ketetapan yang telah dimaklumkan. Malah, bayaran bagi fasa kedua ini dijangka dapat disempurnakan menjelang hujung minggu ini.
Manakala, bagi permohonan baharu dan rayuan yang telah diluluskan – akan memperolehi bayaran bermula 15 Mei ini. Peruntukan bagi kumpulan ini dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion.
Seterusnya, berikutan MOF menerima kritikan daripada pelbagai pihak berhubung penolakan permohonan BPN, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan tersebut sehingga 31 Mei ini.
Oleh itu, kepada pemohon yang tidak lulus boleh melakukan permohonan rayuan pada [email protected] atau hadir ke mana-mana kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).