Artikel

Rapid Test Kit Antibodi, Bukan Ujian Pengesanan COVID-19 – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (11 Mei) menegaskan ujian bagi mengesan virus COVID-19 adalah ujian berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) ataupun ujian RTK Antigen.

Kedua-dua ujian tersebut memerlukan pengambilan Nasopharyngeal (NPS) Swab oleh anggota yang terlatih dengan menggunakan alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet (BSC) ketika memproses sampel yang telah diambil.

Kenyataan ini mula timbul apabila terdapat beberapa klinik swasta telah menggunakan RTK Antibodi sebagai ujian pengesanan ke atas pekerja untuk kembali bertugas.

Menurut KKM, ujian serologi RTK Antibodi ini menggunakan sampel darah dari hujung jari tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan.

Ini kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa (active infection). Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji tersebut tidak dijangkiti COVID-19.

Setakat ini, KKM juga memaklumkan tiada sebarang kajian santifik yang kukuh menunjukkan bahawa orang yang telah pulih daripada COVID-19 dan mempunyai antibodi kuat adalah terlindung daripada jangkitan kedua (second infection).