Artikel

Pemilik Restoran Zam Zam Dijatuhi Hukuman Penjara, Dalangi Kes Kelar Wajah Pesaingnya

Zackeer Abbass Khan, pemilik restoran murtabak Zam Zam hari ini (11 Mei) telah dijatuhi hukuman penjara 6 tahun dan 6 sebatan berikutan kes kelar wajah pesaingnya, Liakath Ali Mohamed Ibrahim – restoran Victory.

Gambar: ST File

Menurut laporan CNA, Zackeer dikatakan telah menjadi dalang untuk melakukan perbuatan khianat pada lima tahun lalu. Perbuatan itu telah dibantu oleh rakannya, Anwer Ambiya Kadir Maideen – selaku orang tengah.

Kedua-dua suspek didapati bersalah kerana telah mendatangkan kecederaan yang teruk dan parut kekal pada wajah mangsa.

Bagaimanapun, Anwer memohon rayuan kepada mahkamah untuk mengurangkan hukumannya. Dia mengatakan dirinya telah dipergunakan oleh Zackeer.

Seterusnya, menurut Hakim Mathew Joseph – perbuatan khianat ini disebabkan persaingan perniagaan bagi kedua-dua buah restoran.

Sebelum ini, mangsa adalah rakan niaga Zackeer namun dikatakan telah menipu sejumlah $80,000 hasil jualan dan perbalahan tersebut semakin rumit apabila mangsa mula berkerja dengan Restoran Victory, iaitu pesaing Zam Zam, pada tahun 2014.