Artikel

Lanjutan PKPB, Beri Ruang KKM Pertingkatkan Usaha Pengesanan Kes COVID-19

Sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (10 Mei) menyambut baik pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga 9 Jun 2020.

Pelaksanaan PKPB ini sekaligus dapat memberikan ruang kepada KKM untuk meningkatkan lagi usaha mereka terhadap kawalan penularan COVID-19.

Setakat ini, KKM sedang melakukan dua pendekatan iaitu melalui pengesanan secara aktif dan pendekatan tumpuan.

Menerusi dua kaedah ini, KKM menyasarkan ujian saringan ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi, khususnya kepada kumpulan kluster dan kawasan zon merah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ini adalah kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti oleh KKM setakat 10 Mei:

  • Peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka
  • Pelajar serta kakitangan madrasah dan tahfiz yang berkait rapat dengan perhimpunan di Seri Petaling
  • Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin
  • Anggota kesihatan KKM
  • Penduduk di lokaliti-lokaliti PKPD
  • Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL
  • Pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah
  • Rumah jagaan warga emas.

Oleh itu, semua peringkat masyarakat disarankan untuk mengambil langkah tanggungjawab sosial serta mempunyai kawalan kendiri terhadap situasi sekarang.

Ini kerana, sekiranya masyarakat leka dan tidak mempraktikkan norma baharu seperti yang diusulkan, ia mampu mengugat kestabilan catatan angka kes positif COVID-19 di Malaysia.