Artikel

[RENCANA] Urus Pengangguran Sebelum Parah

Angka rasmi kadar pengangguran negara telah meningkat ke 3.9 peratus pada bulan Mac.

Kadar ini merupakan yang tertinggi sepanjang dekad lepas.

Ini adalah statistik terbaru yang dikongsi Jabatan Statistik Malaysia pada Jumaat.

Malah, jika diteliti laporan tersebut, ada bayangan masih ada impak yang belum ‘terlihat’ dari Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan bermula 18 Mac tahun ini.

Antara angka utama yang menarik perhatian termasuk lebih 600,000 rakyat Malaysia didapati sedang menganggur pada bulan Mac tersebut.

Jika ini adalah data pada bulan Mac, saya tidak dapat bayangkan bagaimana data yang direkod pada bulan April, Mei dan bulan-bulan seterusnya.

Oleh itu, penting bagi Kerajaan dan pemilik perniagaan memikirkan solusi yang terbaik dalam mengharungi krisis ini yang dijangka akan berlanjutan buat suatu masa yang tidak dapat ditetapkan.

Ini bermakna solusi yang direncana perlu menganggap bahawa keadaan ini tidak berpenghujung.

Model-model perniagaan baharu harus diubahsuai bagi menepati keadaan ini.

Sudah pasti saya bukan pakar dalam hal ini tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan krisis pengangguran ini dapat diuruskan dan dikawal dengan baik.

Jika tidak, natijahnya bukan sahaja kepada penganggur ketika ini dan ekonomi negara tetapi juga graduan yang bakal memasuki pasaran pekerjaan setelas pengajian mereka selesai.