Artikel

10 Perkara Anda Perlu Tahu: Petronas Dan Sarawak Akhirnya Berdamai

Kerajaan Negeri Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah mencapai kata sepakat dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak. Berikut adalah 10 perkara anda perlu tahu tentang isu ini:
  1. PETRONAS bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020
  2. Kerajaan Negeri Sarawak akan menggugurkan kesemua tuntutan di dalam kes sivil terhadap PETRONAS untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum
  3. PETRONAS akan membuat bayaran penuh ke atas cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak ke atas produk petroleum bagi tahun 2019 berjumlah RM2 bilion iaitu pada kadar 5% daripada nilai jualan produk tersebut
  4. Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS seterusnya bersetuju bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah State Sales Tax (Taxable Goods and Rate of Tax)(Amendment)(No. 2) Order, 2018 (“Order 2018”) dikenakan pada kadar yang lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang akan diadakan kelak
  5. Kerajaan Negeri Sarawak turut bersetuju bahawa cukai jualan akan terhad ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawah Order 2018
  6. Kesemua surat cara dan perjanjian yang telah dipersetujui antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan PETRONAS di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] masih sah dan berkuat kuasa
  7. PETRONAS masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan
  8. PETRONAS bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Sarawak akan terus membangunkan industri minyak dan gas di negeri berkenaan
  9. PETRONAS akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam membolehkan penglibatan kerajaan negeri yang lebih aktif di dalam sektor ini
  10. Ini termasuk peluang usaha sama di peringkat syarikat operasi di Sarawak
 
Bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian komersial berkenaan, YB Menteri Kanan Kerja Raya dan YB Menteri Kewangan telah dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan jawatankuasa bersama bagi tujuan ini.