Artikel

Panduan Mengendali Isu COVID-19, Pelihara Kebajikan Pekerja

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, hari ini (8 Mei) telah mengumumkan Panduan Mengendalikan Isu-Isu Berhubung Wabak Berjangkit Termasuk Novel Coronavirus Di Tempat Kerja yang telah dimasukkan ke dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia.

Para majikan perkhidmatan perlu (essential services) dan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi hendaklah melaksanakan langkah-langkah seperti mengarahkan dan membenarkan pekerja untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan oleh pengamal perubatan berdaftar atas biaya majikan, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 60F Akta Kerja 1955.

Selain itu, majikan perlu membenarkan cuti sakit bergaji atau kelayakan menerima rawatan bagi pekerja yang mempunyai gejala jangkitan.

Pastikan langkah-langkah pencegahan berikut adalah dilaksanakan di tempat kerja dengan melakukan pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis kerja, menyediakan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer serta kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman terutamanya ruangan yang sama.

Seterusnya, mengamalkan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangya 1 meter termasuk di ruang kerja dan ruang makan seperti elakkan berada di kawasan yang sesak (crowded space) elakkan pekerja berkumpul di kawasan yang tertutup (confined space) secara beramai-ramai pada masa yang sama, kekalkan jarak 1 meter ketika bersemuka dengan orang lain (close conversation).

Para pekerja disarankan untuk mengikuti langkah pencegahan ini, ia bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat dimusnahkan.