Artikel

60 Kes Disahkan Positif, 53 Kes Daripadanya Adalah Warga Asing – Kluster Pedas

Sebelum ini, seperti yang dimaklumkan pada 2 Mei 2020 – KKM telah mengenalpasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan.

Sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini (8 Mei) menyatakan kluster ini mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April 2020.

Individu tersebut telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan ujian COVID-19 telah dijalankan pada 10 April 2020. Pada 12 April 2020, keputusan ujian pengesanan COVID-19 disahkan positif.

Susulan itu, siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut telah dijalankan.

Sehingga hari ini, seramai 786 orang telah disaring untuk COVID-19. Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan.

Kes positif ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 lagi bukan warganegara.