Artikel

76.6% Firma Perniagaan Akui Hadapi Cabaran Bayar Gaji Pekerja Sewaktu PKP

Hampir 76.6% syarikat perniagaan mengatakan mereka menghadapi cabaran dalam membayar gaji pekerja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Kenyataan ini telah dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Survei Khas Kesan COVID-19 ke atas Syarikat Perniagaan yang dilakukan secara dalam talian pada 10 April hingga 1 Mei 2020.

Sebanyak 4,094 syarikat telah memberi maklum balas terhadap cabaran mereka sepanjang tempoh PKP dan krisis COVID-19 ini berlaku.

Selain isu gaji, kesan lain yang turut diterima adalah sebahagian besar responden 53.4% menyatakan mereka hanya mampu bertahan 1 hingga 2 bulan sahaja – sekiranya kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji diberikan kepada pekerja semasa PKP.

Lebih menarik adalah kajian juga mendapati sebanyak 88.8 peratus responden dari kategori Syarikat Sendirian Berhad menghadapi cabaran dalam pembayaran gaji pekerja. Sebaliknya, Hak Milik Perseorangan pula menyatakan cabaran utama mereka adalah ketiadaan pelanggan iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5%).

Manakala, 67.8% responden pula menyatakan mereka tiada sumber pendapatan dan 42.5% responden mengatakan mereka perlu mengambil masa lebih dari 6 bulan untuk memulihkan semula operasi perniagaan mereka.

Menerusi catatan ini, jelas pelaksanaan PKP secara tidak langsung telah menganggu operasi perniagaan dan pengukuhan syarikat di Malaysia.