Artikel

[RENCANA] Tiba Masa Untuk Kita ‘Kawal Pergerakan Sendiri’

Era Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP dijangka akan berakhir dalam masa terdekat.

Oleh itu, saya fikir sudah tiba masa untuk kita ‘Kawal Pergerakan Sendiri’ atau KPS.

Peralihan daripada PKP yang diletakkan oleh Kerajaan kepada kita mengawal pergerakan sendiri perlu diurus dengan baik agar usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diteruskan.

Lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), rakyat perlu mengamalkan disiplin kendiri bagi memastikan tiada kluster baharu wujud akibat Covid-19.

Bagaimana untuk mencapai hasrat ini?

Pertama sekali, utamakan penjarakkan sosial dalam kehidupan seharian. Jangan menyertai aktiviti dimana penjarakkan sosial diabaikan.

Sikap berhati-hati ini yang akan membantu kita untuk mengatasi penularan Covid-19.

Ini bermakna tiada lagi makan secara bersama dalam kumpulan yang besar dan berbuka puasa secara beramai-ramai.

Tiada lagi pergi ke pawagam atau ke pusat hiburan untuk berkaraoke. Masa untuk semua perkara ini perlu ditunda ke satu masa apabila Covid-19 boleh dikawal.

Kedua, kurangkan frekuensi keluar dari rumah. Seperti yang pernah dikatakan Ketua Polis Negara, anggap rumah anda seperti ‘kubu’.

Jadi, keluar daripada kubu apabila perlu sahaja seperti pembelian barang keperluan, ubat atau kecemasan.

Walaupun anda semua mungkin rasakan bahawa apa yang saya katakan ini tidak perlu memandangkan Kerajaan sudah pun melonggarkan PKP, pendapat saya adalah semua kawalan yang dikenakan harus diteruskan sendiri oleh rakyat agar kita dapat mengawal penularan Covid-19.