RHB Research menjangkakan Pos Malaysia Bhd catat kerugian bagi suku pertama tahun 2020.
Jangkaan ini berikutan gangguan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Malah, ramalan tersebut dikatakan akan membawa kepada kerugian untuk operasi sepanjang tahun ini.
Menurut RHB Research – selain krisis COVID-19, kerugian turut didorong kerana faktor kos pengangkutan, adalah sebanyak 25% ditanggung daripada jumlah kos keseluruhan syarikat.
Namun begitu, laporan New Straits Times menyatakan Pos Malaysia masih lagi optimis dengan perkhidmatan kurier dan penggunaan secara dalam talian untuk mampu meningkatkan prospek mereka bagi jangka masa panjang.
Khususnya potensi peningkatan dalam transaksi platform e-dagang.
RHB Research turut menyasarkan pertumbuhan perolehan Pos Malaysia bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 adalah dalam lingkungan 2.0 peratus hingga 12 peratus.
Setakat ini, RHB Research masih mengekalkan klasifikasi “beli” di Pos Malaysia dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM1.10.