Artikel

Kajian Cent-GPS: 30% Responden Tiada Sumber Pendapatan, Sewaktu Tempoh PKP

Hampir 30% responden kajian didapati tidak memiliki dan kehilangan sumber pendapatan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berlangsung bagi fasa 1 dan fasa 2.

Menurut Kajian Cent-GPS 2020 – Sikap Perbelanjaan Dan Status Kewangan Rakyat Malaysia Semasa Tempoh PKP 1 dan 2, telah menunjukkan beberapa rumusan berdasarkan kepada status kewangan isi rumah dan bagaimana responden menstrukturkan kembali cara perbelanjaan mereka sepanjang PKP ini.

Susulan krisis COVID-19 ini pelbagai operasi perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja diberi cuti tanpa gaji, termasuklah yang diberhentikan.

Faktor ini yang membawa kepada catatan 30% responden tidak mempunyai sumber pendapatan.

Namun begitu, usaha Kerajaan dengan Pakej Prihatin sedikit sebanyak telah meringankan bebanan rakyat Malaysia. Antaranya adalah penawaran moratorium selama 6 bulan bagi pinjaman dan pemberian dari segi geran kepada usahawan serta bantuan kewangan secara individu pada Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Manakala, mengenai persoalan perbelanjaan isi rumah pula – 38% responden mengatakan perbelanjaan mereka sedikit meningkat. Ini kerana had pergerakan menyebabkan mereka memilih untuk membeli secara dalam talian (telah meningkat sehingga 44% dengan kekerapan pembelian 1 hingga 3 kali), dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran.

35% responden lain pula mengatakan perbelanjaan mereka sedikit menurun, ini pula didorong oleh penurunan pertumbuhan ekonomi menjadikan harga barangan keperluan sedikit menurun.

Apa yang membimbangkan kajian turut mendapati hampir 74% responden tidak memiliki simpanan lebih dari 4 bulan bagi menghadapi situasi ini.

Situasi ini menuntut kepada pembukaan sektor ekonomi bagi memastikan aliran tunai dalam pendapatan negara dapat dipertingkatkan.

Secara tidak langsung ia dapat membantu kewangan rakyat dan memulihkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Meskipun, krisis dan pelaksanaan PKP telah menjejaskan pendapatan ramai pihak – namun 85.7% responden tetap bersetuju akan pelaksanaan kawalan tersebut. Malah 70% responden percaya bahawa ekonomi dapat dipulihkan.

Rata-rata responden menyifatkan tindakan ini sesuatu yang wajar dilakukan oleh kerajaan bagi menangani isu pandemik COVID-19.

Untuk makluman, kajian ini menggunakan seramai 733 responden. Kutipan data kajian telah dilakukan pada 31 Mac sehingga 14 April 2020, iaitu fasa 1 dan fasa 2 PKP. Kajian ini merangkumi kumpulan umur antara 18 tahun sehingga 57 tahun dan ke atas.