Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Astro Malaysia Holdings Bhd. (Astro) telah bersetuju untuk berkerjasama bagi menyiarkan Slot Program TV Pendidikan di saluran Tutor Astro.
Usaha ini adalah tambahan kepada slot pendidikan yang telah dilakukan oleh TV Okey, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 6 April lalu.
Tujuan pendekatan platform ini adalah membantu pelajar yang tidak memiliki capaian internet yang baik untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pasca PKP.
Menerusi inisiatif ini juga, secara tidak langsung para pelajar di luar bandar dan bandar tidak akan ketinggalan dalam sebarang penyediaan bahan pembelajaran. Biarpun ketika ini, sesi pembelajaran di sekolah dihentikan, namun kelangsungan pembelajaran masih dapat diteruskan.
KPM yakin melalui kerjasama ini, ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya para pelajar, guru dan ibu bapa.
Untuk makluman, program ini akan disiarkan selama dua (2) jam pada setiap Isnin hingga Jumaat.
Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM.