Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini telah melancarkan Pelan Strategik bagi tahun 2020-2022 dikenali sebagai “Focus 4”.
Ini merupakan pelan terperinci bagi menyelaras inisiatif-inisiatif STRIVE-15 berikutan Kajian Semula Jangka Masa Pertengahannya.
Focus 4 menggariskan bidang-bidang utama seperti berikut:
- Kepelbagaian: Memacu kepelbagaian portfolio melalui pelaburan dalam kelas aset dan geografi baharu, termasuk peluang hartanah global yang menawarkan pulangan yang baik;
- Penciptaan Nilai: Pengenalan rangka kerja tadbir urus bagi syarikat-syarikat strategik;
- Pengurusan Risiko: Memupuk budaya risiko yang mantap dengan menambah baik elemen-elemen utama pengurusan risiko organisasi; dan
- Transformasi Organisasi: Penambahbaikan dalam Modal Insan & Budaya, Tadbir Urus & Proses, Digital dan Struktur & KPI.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (TK2019), PNB telah mencatatkan keputusan yang positif dengan Aset di Bawah Pengurusan berkembang melepasi tahap RM300 bilion dengan mencecah RM312.0 bilion, dan unit dalam edaran meningkat sebanyak 7.3% kepada hampir 254 bilion.
PNB juga telah mengagihkan sejumlah RM13.2 bilion dalam bentuk pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unit sepanjang tahun kewangan, mencapai jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM200 bilion bagi kesemua 14 dana sejak penubuhannya.
Usaha-usaha kepelbagaian global turut menunjukkan hasil yang positif bagi TK2019, dengan ekuiti awam antarabangsa menjana pulangan tertinggi sekaligus menyumbang kepada lebih dari 11.6% kepada Pendapatan Kasar keseluruhan, walaupun dengan pendedahan lebih rendah iaitu 5.9%.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini melancarkan Pelan Strategik bagi tahun 2020-2022 dikenali sebagai “Focus 4” bagi memacu organisasi ke hadapan untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Pelan ini telah dirangka berdasarkan hasil Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang dilakukan pada tahun 2019 bagi Pelan Strategik 2017-2022 sebelumnya, yang dikenali sebagai STRIVE-15.
Bagi menyelaraskan 15 inisiatif awal tersebut, Focus 4 menggariskan empat bidang tumpuan bagi PNB, dalam usaha mentransformasi dan membuat persiapan untuk mengharungi cabaran ketidaktentuan masa depan serta perubahan lanskap pasaran.
Pada taklimat media yang julung kali diadakan secara maya, PNB turut mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun berakhir 31 Disember 2019 (TK 2019) dan berkongsi pandangan bagi tahun akan datang.
FOCUS 4
Berdasarkan kesimpulan yang diperoleh daripada Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan bagi Pelan Strategik 2017-2022 (STRIVE-15), PNB telah memusatkan fokusnya kepada empat bidang utama untuk membentuk Pelan Strategik 2020-2022 atau Focus 4.
“Kajian Semula Jangka Masa Pertengahan yang meluas ini membolehkan PNB mengumpul maklumat kritikal dan menganalisa faktor-faktor dinamik semasa kami, bagi memperkukuh hala tuju strategik kami untuk terus mengorak langkah ke hadapan,” kata Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz.
“Ianya merupakan intipati Focus 4, yang memperincikan empat bidang utama iaitu Kepelbagaian, Penciptaan Nilai, Pengurusan Risiko dan Transformasi Organisasi untuk menjadi pemangkin pertumbuhan yang mampan dan membolehkan PNB meraih nilai,” tambahnya lagi.
Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Jalil Rasheed, menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan Focus 4.
“Focus 4 mencerminkan peralihan strategik dari STRIVE-15, di mana PNB telah berjaya memperkukuh fundamental luas dan menyediakan rangka kerja yang diperlukan, bagi Focus 4 bertumpu kepada bidang-bidang berimpak tinggi yang khusus serta lebih sesuai dengan persekitaran pasaran,” kata Jalil Rasheed.
“Pendekatan jangka pendek tiga tahun juga memberi PNB fleksibiliti untuk menjadi lebih responsif dan mampu menyesuaikan diri untuk memanfaatkan peluang yang ada dalam keadaan masa kini yang bergerak pantas,” kata beliau lagi.
Setiap bidang utama Focus 4 menggariskan objektif terperinci dengan sasaran yang jelas:
Kepelbagaian
PNB akan terus memacu kepelbagaian portfolio melalui pelaburan ke dalam kelas aset dan geografi baharu, termasuk peluang hartanah global dengan pulangan yang baik.
Sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan pendedahan global secara taktikal kepada 30% menjelang 2022, dari pendedahan global semasa sebanyak 8.5% pada akhir tahun 2019.
Selaras dengan itu, bagi mengoptimumkan pulangan dalam persekitaran pulangan rendah yang berterusan, PNB terus meneliti semula porfolionya dengan matlamat untuk melabur di kaunter-kaunter yang mampu memberikan prospektif pulangan dan potensi pulangan jangka panjang yang lebih baik, bagi mondorong penggunaan modal yang lebih efisien.
Untuk jangka masa terdekat, ini termasuklah memanfaatkan prospek yang ditawarkan oleh “mispricing” pasaran semasa.
Strategi ini juga membolehkan PNB untuk memantapkan kedudukan kewangannya dalam jangkaan ketidakstabilan pasaran.
Ini akan disokong dengan memperkukuhkan proses pelaburan sedia ada dan menambah baik kecekapan membuat keputusan, dengan penekanan tindak balas kepada peluang dan risiko sambil mengambil kira jangka masa yang lebih panjang bagi pelaburannya.
Penciptaan Nilai
Bagi merangsang prestasi syarikat-syarikat pelaburannya dan mencipta nilai yang lebih baik, PNB telah mewujudkan Rangka Kerja Tadbir Urus yang bertujuan untuk mengartikulasikan falsafah dan jangkaan PNB terhadap syarikat-syarikat dalam lingkungan pelaburannya, dengan tujuan untuk menggalakkan budaya berteraskan prestasi dan mengukuhkan kedudukan organisasi masing-masing.
Selain dari memposisikan PNB sebagai pelabur yang memberikan nilai tambah, rangka kerja ini juga menetapkan Garis Panduan Undian yang telah dibangunkan untuk memperkenalkan amalan tadbir urus terbaik di Malaysia serta menetapkan jangkaan yang jelas terhadap syarikat-syarikat pelaburan.
Kedua-dua rangka kerja dan garis panduan ini boleh didapati di laman web PNB www.pnb.com.my bermula hari ini.
Pengurusan Risiko
Selaras dengan Rangka Tindakan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) lima tahunnya, PNB ingin memupuk budaya risiko dan infrastruktur yang mantap dengan memberi tumpuan kepada empat elemen utama ERM iaitu tadbir urus, rangka kerja dan proses, digitalisasi serta sumber.
Ini termasuklah mengembangkan skopnya bagi menguruskan risiko ‘transversal’ yang meliputi seluruh organisasi, berdasarkan kerumitan persekitaran masa kini dan untuk menambah baik kecekapan operasi.
Bagi merealisasikan hasrat ini, platform teknologi digital akan digunakan untuk membangunkan sistem berpusat, yang merangkumi alat analisis risiko dan meningkatkan keupayaan bagi pemantauan dan laporan pengurusan risiko automatik.
Satu rangka kerja budaya risiko berstruktur juga akan turut diwujudkan untuk menambah baik kecekapan di semua peringkat.
Transformasi Organisasi
Sebagai sebahagian dari aspirasi jangka panjangnya untuk transformasi organisasi, PNB telah menetapkan 10 elemen buat memantapkan kecekapan dan kecemerlangan institusi, yang telah dikelaskan kepada empat bidang utama yang saling berhubung bagi jangka masa segera: Modal Insan & Budaya, Tadbir Urus & Proses, Digital, dan Struktur & KPI.
Modal Insan & Budaya menekankan kepada pemerolehan, pembangunan dan pengekalan bakat melalui persekitaran kerja yang amat kondusif serta rangka kerja pengurusan bakat untuk menggalakkan kesejahteraan dan perkembangan kerjaya, di samping memupuk budaya keterbukaan dengan menambah baik inisiatif komunikasi dan outreach.
Tadbir Urus & Proses tertumpu kepada tadbir urus korporat yang mantap dan mewujudkan satu Rangka Kerja Pengurusan Pengetahuan untuk membina organisasi cekap yang berteraskan pengetahuan.
Melalui Rangka Tindakan IT lima tahun PNB, teknologi digital diguna pakai sebagai penggerak utama untuk meningkatkan kecekapan, menyokong pembangunan struktur dan KPI yang optimal selari dengan objektif organisasi bagi memacu prestasi.
Jalil menerangkan, “Dengan tumpuan tiga tahun ini, Focus 4 akan menempatkan PNB sebagai sebuah institusi pelaburan dengan falsafah yang jelas dan konsisten, dengan kepelbagaian portfolio, serta menjadi peneraju dalam bidang pengurusan risiko, prestasi tinggi dan pengawasan tadbir urus korporat.
Pekerja dan budaya organisasi kami yang berprestasi tinggi dijangka akan berkembang pesat di dalam persekitaran yang digerakkan oleh teknologi dan model operasi yang optimal, bersandarkan kepada amalan tadbir urus yang terbaik, selaras dengan perkembangan PNB yang berterusan untuk merealisasikan visi kami sebagai firma pelaburan distinktif bertaraf dunia.”
KAJIAN PRESTASI BAGI TAHUN 2019 & JANGKAAN MASA HADAPAN
Mengimbas semula tahun 2019, keadaan ekonomi global yang mencabar ditambah dengan perkembangan geopolitik telah menghasilkan tahun yang tidak menentu.
Namun begitu, PNB masih mampu mempertahankan perkembangan Aset di Bawah Pengurusannya, apabila berjaya mencapai RM312.0 bilion, melebihi tanda aras RM300 bilion, dengan unit-unit dalam edaran meningkat kepada 7.3% mencapai hampir 254 bilion pada tahun 2019.
PNB juga turut mengagihkan sejumlah RM13.2 bilion dalam bentuk pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unitnya pada tahun kajian, mencapai jumlah keseluruhan agihan pendapatan sebanyak RM200 bilion bagi kesemua 14 dana sejak penubuhan.
Tan Sri Dr. Zeti Aziz menambah, “Ini banyak didorong oleh pendekatan pelaburan kami yang berhemah selaras dengan kepelbagaian pelaburan terbaharu kami dalam kelas aset dan pasaran kewangan global baharu.
Ekuiti awam antarabangsa menjana pulangan tertinggi, menyumbang kepada lebih dari 11.6% kepada Pendapatan Kasar keseluruhan bagi tahun 2019, walaupun dengan pendedahan yang sedikit iaitu 5.9%.
Pendedahan global kami juga turut mencatatkan peningkatan dari 1.8% atau RM4.7 bilion pada tahun 2016, kepada 8.5% atau RM26.4 bilion pada tahun 2019.
Dengan fokus pada asas pelaburan yang mengambil kira jangka masa yang lebih panjang dan disokong kuat oleh komitmen kami terhadap tadbir urus dan ketelusan yang mampan, ianya telah membolehkan kami untuk bertahan dalam arus ekonomi yang mencabar ini.
Seiring perjalanan kami pada tahun 2020, pendekatan Focus 4 kami yang terperinci bertambah relevan bagi menghadapi pergolakan pasaran ekoran pandemik Covid-19”.
“Focus 4 bertujuan untuk memastikan PNB sentiasa berada di kedudukan yang baik untuk menempuh cabaran ini, kerana ia bertujuan untuk membolehkan kami membina daya tahan dan mencorak laluan bagi PNB meneroka prospek-prospek baharu serta mengembangkan kecekapan kami.
Dengan memanfaatkan asas kami yang kukuh yang telah terbina sejak lebih 40 tahun, dan pengalaman lalu dalam menempuhi pelbagai cabaran getir mahupun meraikan kejayaan, kami kekal komited untuk memenuhi mandat kami kepada pemegang unit untuk tahun-tahun mendatang,” rumus Tan Sri Dr. Zeti.