Artikel

R0 Malaysia Terkawal Buat Masa Ini, Kini 0.6 hingga 0.8 – KP Hisham

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia setakat 3 Mei 2020 adalah 0.6 hingga 0.8, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“R ‘o’ atau R-nought di Malaysia adalah 0.6-0.8 (purata/mean 0.7). Ini bererti jika R0 kurang daripada 1, ia bermaknanya wabak ini terkawal,” kata KP Hisham.

“Namun demikian, apa yang kita buat dan lakukan pada waktu sekarang akan tentukan samada R0 ini akan naik atau turun.

“Berdasarkan atas tindakan kita, ini akan tentukan samada R0 akan naik atau turun. Sebagai contoh, jika ada ketidakpatuhan orang terhadap PKP, jadi R0 akan meningkat.

“Kepatuhan PKPB ataupun PKP akan meningkat jika rakyat tidak ikuti, tidak patuhi,” tambah beliau lagi


Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, golongan warga emas didapati agak terjejas dengan wabak COVID-19 di mana terdapat banyak kes jangkitan dan kematian berkaitan COVID-19 di kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas. Warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan juga penyakit kronik. Ini merupakan satu isu global yang dihadapi oleh negara- negara yang terjejas dengan wabak ini.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui kajian kematian (mortality review) ke atas 99 daripada 105 kes kematian yang telah dilaporkan di Malaysia, kumpulan umur yang mempunyai bilangan kematian COVID-19 yang tertinggi adalah di antara 61 sehingga 70 tahun (iaitu 32 kes, 32.2 peratus) dan kumpulan umur kedua tertinggi adalah di antara 71 sehingga 80 tahun (iaitu 19 kes, 19.2%).

Walaupun kita belum memahami sepenuhnya jangkitan COVID-19, apa yang jelas ialah risiko jangkitan meningkat mengikut usia, dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases atau NCD; seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan barah) dan faktor risiko penyakit NCD (sepert merokok dan obesiti) adalah lebih berisiko untuk mendapat gejala jangkitan COVID-19 yang lebih teruk dan risiko kematian yang lebih tinggi.

Mengambil kira statistik ini, adalah terbukti bahawa kumpulan warga emas merupakan kumpulan berisiko tinggi yang perlu dilindungi daripada dijangkiti COVID-19 oleh semua pihak. Kepatuhan dan tanggungjawab sosial rakyat adalah amat penting demi memastikan keselamatan dan kesihatan golongan warga emas.