Artikel

Dua hari berturut-turut kes positif 3 digit, purata kes trend menaik

Setelah mencatatkan kes harian menurun selama beberapa minggu, trend kes baharu kini sedang menaik.

Gambarajah di sebelah kanan artikel ini menunjukkan kes hari-ke-hari (Day-to-day, atau D2D) yang dihitung dengan kes baharu hari ini, tolak dengan kes baharu hari sebelum ini, dan dibahagikan dengan jumlah kes hari sebelum ini.

Garisan D2D dilambangkan dengan garis berwarna merah.

Apabila dipuratakan dengan trend harian D2D selama tujuh hari, trend menunjukkan kes harian semakin menaik, dan dilambangkan dengan garisan berwarna hijau.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 87 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,413 kes (70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga 3 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 122 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,298 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,780 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan bahawa daripada 122 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 52 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 70 kes.

Sehingga kini, seramai 27 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).Daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 105 kes (1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).