Artikel

[RENCANA] PKPB – Bagus atau Tidak?

Esok, bermula era Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membawa bersamanya pelbagai cabaran dan isu baru berbanding PKP biasa sebelum ini.

Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan berhubung tindakan ini yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Hari Pekerja Jumaat lepas.

Namun, bagi tujuan artikel ini, saya hanya akan membincangkan dua pandangan – sokong PKPB dan bantah PKPB.

Bagi yang menyokong PKPB, jelas sekali mereka mengambilkira keperluan ekonomi negara yang melihat kemelesetan yang teruk sejak PKP dimulakan.

Tanpa aktiviti ekonomi, tekanan ke atas majikan untuk terus memberi gaji dan mengekalkan pekerja untuk tempoh PKP ini.

Jika berterusan tanpa ada pembaharuan, majikan ini akan terpaksa melepaskan pekerja yang akhirnya akan meningkatkan kadar pengangguran dalam negara.

Saya bersama golongan yang mengambilkira kesihatan ekonomi negara dalam menyokong PKPB ini kerana proses pemulihan perlu bermula secepat mungkin agar ekonomi Malaysia dapat kembali mengukuh secepat mungkin.

Walau bagaimanapun, saya tidak memandang enteng kerisauan mereka yang membantah PKPB.

Rata-rata mereka mahukan PKP diteruskan melihat kepada jumlah bilangan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan serta memerhati gelagat sesetengah rakyat yang menganggap PKPB ini bermakna tiada PKP.

Ini yang harus dipantau Kerajaan kerana rakyat harus sedar PKPB bukan bermaksud tiada PKP tetapi ia adalah bentuk PKP yang lebih longgar.

Ia tidak bermakna anda boleh keluar sesuka hati untuk berbuka puasa atau beramah mesra dengan kawan dan sebagainya.

Harapan saya, rakyat Malaysia sedar kepentingan kita meneruskan penjarakkan sosial agar penularan Covid-19 dapat diputuskan supaya kita melihat sifar kes Covid-19 dalam negara.