Artikel

Sarawak Kata ‘Tidak’ Kepada PKPB, Kekal Laksana PKP Seperti Biasa Menjelang 4 Mei Ini

Susulan pengumuman 105 kes baharu COVID-19 pada 2 Mei, Kerajaan negeri Sarawak telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti mana diputuskan oleh kerajaan persekutuan pada Jumaat (1 Mei).
Keputusan ini akan berdasarkan penelitian yang dibuat oleh Pusat Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC).
Semua keputusan mengenai penguatkuasaan PKP di Sarawak akan kekal seperti mana pelaksanaan dibuat sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa SDMC Datuk Amar Douglas Uggah berkata, Sarawak kekal dengan ‘status quo’nya.
Kerajaan Sarawak dilaporkan berkata bahawa ‘mereka bagaimanapun menghormati pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka semula sektor ekonomi di seluruh negara’.
Namun pendirian yang diambil oleh kerajaan negeri Sarawak ini memberi implikasi yang bercampur kepada sektor kesihatan dan ekonomi, kata seorang penganalisis.
“Bagi sektor ekonomi, perkembangan akan terus terencat di negeri ini, namun demikian, sektor kesihatan akan terus pulih kerana PKP akan terus dilaksanakan seperti biasa,” kata beliau.