Artikel

Pemerkasaan Komuniti Sangat Diperlukan Sekarang, Pantau Kepatuhan Sosial Dalam Masyarakat – KP Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyarankan bahawa pemerkasaan komuniti (community empowerment) sangat diperlukan sekarang.

“Kita perlu orang ramai pantau sesama sendiri tentang kepatuhan sosial di dalam kalangan komuniti itu sendiri,” kata KP Hisham.

“Ini termasuk memastikan orang ramai terus kekalkan penjarakan sosial, pastikan kami semua sentiasa basuh tangan selalu, dan lain-lain lagi. Ini semua harus berlaku di peringkat komuniti dan masyarakat lagi,” tambah beliau.

Pihak KKM ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 ini belum berakhir. Secara global, sebanyak 187 buah negara telah terkesan dengan jumlah kes positif COVID-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian.

Risiko penularan secara mendadak di Negara kita masih wujud sekiranya kita lalai dan alpa dalam mengamalkan norma baharu kehidupan seharian seperti:

  • Mengamalkan langkah-langkah kesihatan seperti amalan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain;
  • Digalakkan penggunaan alat penutup hidung dan mulut (face mask), terutama di kawasan umum;
  • Menggalakkan amalan kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau penggunaan hand sanitizer;
  • Mengamalkan amalan-amalan pencegahan jangkitan;
  • Mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan.

Justeru, kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting untuk memastikan kita berjaya menewaskan virus COVID-19.