Artikel

Caj Jualan Skim Pelaburan Ahli KWSP Dikurangkan

Bermula 1 Mei 2020, ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak melabur dalam Skim Pelaburan Ahli (SPA KWSP) akan menikmati pengurangan caj jualan yang dikenakan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021.

Menurut KWSP, ini adalah untuk membolehkan mereka mempelbagaikan portfolio persaraan pada kos yang lebih rendah.

Bagi pelaburan yang dilaksanakan melalui ejen, kadar caj jualan akan dikurangkan daripada maksimum 3% kepada kadar maksimum 1.5%, sementara pelaburan yang dilaksanakan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli) tidak akan dikenakan sebarang caj jualan.

Bagi memastikan kelangsungan industri pengurusan dana dalam waktu yang mencabar ini, KWSP juga akan mengurangkan fi perkhidmatan yang dikenakan ke atas IPD untuk tempoh yang sama sebanyak 50%.

Fi perkhidmatan yang akan dikurangkan kepada 0.0625% daripada 0.125% adalah berdasarkan aset di bawah pengurusan (AUM) yang diuruskan IPD dan ia tidak akan dikenakan ke atas dana atau ahli.

Bagi ahli yang berusia 55 tahun dan ke atas yang menjalankan transaksi melalui i-Invest, fi perkhidmatan yang dikenakan ke atas IPD dikurangkan kepada 0.125% daripada 0.250% ke atas sesuatu amaun pengeluaran.