Artikel

Khaled Nordin Dilantik Pengerusi Baharu Boustead Holdings

Datuk Seri Mohamed Khaled Bin Nordin telah dilantik menjadi Pengerusi lembaga pengarah baharu Boustead Holdings Berhad, berkuatkuasa 1 Mei 2020.

Khaled menggantikan General Tan Sri Panglima Mohd Ghazali Che Mat yang telah menjawat jawatan Pengerusi Boustead Holdings selama lebih tiga puluh tahun. Ghazali mula memegang jawatan Pengerusi Boustead pada tahun 3 Disember 1990.

Sebagai seorang pengarah bukan-bebas bukan-eksekutif (non-independent non-executive), Khaled juga adalah nominee (penama) kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), pemegang saham terbesar di Boustead.

“Kumpulan Boustead berbangga dengan pelantikan Datuk Seri Mohamad Khaled sebagai pengerusi. Kami yakin syarikat ini akan dikemudi dengan baik di bawah pimpinan beliau,” kata Dato’ Sri Amrin Awaluddin, Pengarah Urusan Boustead Holdings Berhad.

Khaled adalah salah seorang Naib Presiden UMNO, dan juga merupakan Pengerusi Majlis Dasar Awam parti itu.

Beliau juga merupakan mantan Menteri Besar Johor ke-15 dari 2013 hingga ke 2018.

Sebelum itu, beliau pernah menjadi ahli kabinet kerajaan persekutuan dan memegang portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna serta Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.