Selepas pengumuman persaraan beliau dari jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) di Kementerian Kewangan (MOF), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir kini dilantik menjadi sebagai Pengerusi lembaga pengarah Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP).
Tan Sri Badri memulakan jawatan baharu beliau sebagai Pengerusi KWSP pada 1 Mei 2020.
Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi KWSP sejak 2007 dan kekal di jawatan itu selama 13 tahun tahun.
Tan Sri Badri, sehingga baru-baru ini, memegang kedudukan Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan telah berkhidmat di sana selama hampir 30 tahun.
Beliau merupakan ahli Panel Pelaburan KWSP sejak tahun 2014, dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari.
Tan Sri Ahmad Badri juga menganggotai beberapa lembaga pengarah termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad.
“KWSP amat bertuah menerima seorang Pengerusi yang disegani dan berpengalaman yang amat layak untuk memberikan panduan kepada kami dalam waktu mencabar ini. Kami pasti dengan kepimpinan beliau, KWSP akan mencapai tahap kecemerlangan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik kepada ahli kami,” kata Alizakri Alias, Ketua Pegawai KWSP.
Selain persaraan Tan Sri Samsudin, KWSP juga ingin mengumumkan persaraan Ybhg Tan Sri Azman Shah Haron, yang telah menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil Majikan sejak tahun 2007.
Tan Sri Azman merupakan Presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan adalah ahli Lembaga Pengarah pelbagai syarikat, termasuk Alangka-Suka Hotels dan Resorts Bhd, serta pelbagai anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd.