Artikel

Pemilik Majalah Jelita, Glam, Tutup Perniagaan

Blu Inc, sebuah peneraju industri penerbitan ‘majalah glossy’ Malaysia telah tutup kedai buat selama-lamanya.

Menerusi sebuah dokumen yang dilihat oleh Rnggt, pihak pengurusan berkata kepada pekerja mereka, ‘gangguan digital yang dialami industri majalah sejak sekian lama, ditambah pula dengan krisis COVID-19, telah menyebabkan syarikat ini harus menutup operasi mereka’.

Surat yang ditulis pihak pengurusan ini juga berkata, tindakan menutup perniagaan mereka adalah disebabkan kerugian yang tinggi. Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini diteruskan, mereka menjangkakan kerugian yang lebih besar akan dialami.

Semua kakitangan pekerja akan menerima emel berasingan berkenaan status pekerjaan mereka tidak lama lagi.

Pihak Blu Inc Media menzahirkan penghargaan kepada kesemua pekerja mereka atas perkhidmatan sebelum ini.

Untuk makluman, Blu Inc telah menerajui industri penerbitan Malaysia selama hampir empat dekad. Dibawah Blu Inc terdapat 19 penerbitan majalah, antaranya adalah CLEO, Cosmopolitan, EH!, Female, Glam, Glam Deko, Glam Lelaki, Harper’s Bazaar, Her Inspirasi, Her World, Her Cookbook, Home & Decor, Icon, Jelita, Malaysian Women’s Weekly, Marie Claire, Nuyou, Shape dan The Peak.