Artikel

Perkhidmatan Video Google Kini Percuma Untuk Semua

Google pada Rabu (29 April) telah membuat perkhidmatan video mereka percuma untuk semua pengguna.
Sebelum ini, hanya pengguna yang membuat langganan berbayar G Suite sahaja yang boleh menggunakan perkhidmatan Google Meet – sebuah perkhidmatan videoconferencing.
Antara sebab utama mengapa Google mengubah strategi mereka adalah kerana ketidakpuasan hati pengguna secara amnya terhadap sebuah lagi perkhidmatan mesyuarat video – Zoom.
“Google Meet kini boleh digunakan oleh semua pengguna di seluruh dunia, untuk bekerjasama secara maya sepanjang tempoh pandemik ini,” kata Javier Soltaro, Naib Presiden G Suite ketika diwawancara oleh AFP.
Google seringkali menyatakan bahawa Meet adalah selamat dan boleh diharap. Ia juga merupakan perkhidmatan asas teknologi awan Google.
Penggunaan telefon video dan mesyuarat video telah melonjak berkali ganda di seluruh dunia, memandangkan dunia perniagaan dan sosial kini dikurung akibat wabak COVID-19.
Ramai pihak telah menggunakan Zoom, tetapi isu keselamatan Zoom telah dipertikaikan setelah didapati e-mel pengguna digodam, dan ada kalanya mesyuarat Zoom telah ‘dirampas’ penggodam secara rawak. Fenomena ini dipanggil “zoombombing”.
Pengguna yang menggunakan Google Meet ada had masa 60-minit yang akan dikuatkuasakan pada akhir bulan September ini, menurut syarikat ini.
Akses percuma Google Meet akan diperkenalkan oleh syarikat ini ke seluruh pengguna secara berperingkat dalam minggu-minggu yang akan datang.
Sebelum ini, Facebook juga perkenalkan servis chat baharu di mana terdapat ‘bilik maya’ yang pengguna boleh ‘masuk’ untuk membuat mesyuarat. Melalui aplikasi FB Messenger, pengguna boleh mulakan sebuah panggilan video dan boleh mengajak sehingga 50 ‘rakan’ dan boleh menggunakannya tanpa had masa, walaupun ‘rakan’ yang dipanggil tiada akaun FB. – AFP