Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara merangkumi empat pelan tindakan utama, di mana dua tindakan adalah oleh Kerajaan dan dua lagi tindakan adalah melibatkan masyarakat umum.
Tindakan yang telah diambil Kerajaan adalah untuk kawalan pergerakan dan kawalan sempadan.
Kawalan sempadan diperlukan untuk mengurangkan kes-kes import COVID-19 memandangkan lebih 180 buah Negara yang terbabit dengan jangkitan ini. Kawalan sempadan yang baik telah membuahkan hasil apabila 154 kes positif COVID-19 telah dikesan di kalangan warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara mulai 3 April 2020 Mac 2020. Individu ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.
Hasil kawalan pergerakan juga dapat dilihat daripada pelaksanaan PKP 1, 2 dan 3 di mana ianya mengurangkan interaksi di antara ahli masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19.
Namun demikian, PKP tidak boleh menghapuskan COVID-19 sepenuhnya.
Malahan masyarakat disarankan untuk bersedia menghadapi virus ini bagi tempoh yang lebih panjang. KKM akan meneruskan aktiviti-aktiviti pembendungan dan pengawalan. Meskipun begitu, penglibatan aktif rakyat adalah amat penting sekali.
Justeru, dua tindakan yang telah dan perlu terus diambil oleh rakyat dan penduduk Malaysia dalam memerangi virus COVID-19 adalah dengan meneruskan amalan jarak sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter, dan juga menjaga tahap kebersihan diri terutama dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun.
Memandangkan negara masih belum memiliki vaksin untuk melawan jangkitan COVID-19, inilah amalan-amalan yang boleh menjadi “vaksin” bagi masyarakat untuk membantu Negara memerangi penularan jangkitan COVID-19.
Seperti yang KKM telah tekankan selama ini, perjuangan negara adalah menentang COVID-19 secara berterusan.
Norma kehidupan yang baharu ini perlu diterapkan ke semua peringkat masyarakat agar ianya menjadi amalan semua pihak. Ini sekaligus dapat memberi kejayaan dan pencapaian engan melandaikan lengkung serta mengawal penularan virus COVID-19.