Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengumumkan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia telah mencecah angka 100 kes.
Ini membentuk 1.7% daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini.
Kes kematian ke-100 (kes ke-3628) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan strok.
Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 4 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 April 2020 jam 9.40 pagi.
Dengan kadar kematian 1.7%, Malaysia mempunyai antara nisbah kes kematian yang terendah di dunia.
Sehingga 28 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 31 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,851 kes.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,719 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.