Artikel

Syarikat Dengan Kelulusan MITI Kini Boleh Beroperasi Penuh Tanpa Sekatan

Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini (28 April) telah membentangkan keputusan sidang mereka kepada Majlis Keselamatan Negara, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semalam (27 April) EAC telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi negara.

Pada sidang mesyuarat tersebut, EAC telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM), Khazanah Nasional dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tumpuan utama mesyuarat  terbahagi kepada beberapa perkara. Iaitu untuk membantu perniagaan bagi meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

Kerajaan kini telah bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

Kebenaran ini akan berkuatkuasa mulai esok, iaitu 29 April.

EAC menegaskan pada sektor yang telah dibenarkan beroperasi, wajib untuk mematuhi segala syarat SOP yang telah ditetapkan. Kegagalan mematuhi akan mengakibatkan kebenaran beroperasi tersebut dibatalkan.