Artikel

[RENCANA] Pengusaha Sektor Pelancongan Perlu Inovasi Untuk Kekal Pendapatan

Sudah lebih sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan dan umum mengetahui pelbagai sektor terkesan.

Namun, kali ini, saya ingin memberi perhatian khusus kepada sektor pelancongan yang terjejas teruk disebabkan penularan COVID-19.

Cuba bayangkan nasib pengusaha di sektor ini apabila tiada orang dibenarkan untuk bergerak bebas dalam negara ini? Industri pelancongan memerlukan pergerakan orang ramai untuk menjana pendapatan.

Oleh sebab itu, saya kira penting bagi Kerajaan untuk menyediakan pelan yang efektif bagi menangani krisis ini.

Pelan yang dimaksudkan tidak perlu hanya menumpukan kepada pemberian bantuan semata-mata tetapi juga mencari solusi yang boleh menjamin kelangsungan pengusaha dan penggiat dalam sektor tersebut.

Saya menghela nafas lega apabila Pelan Tindakan Pemulihan ada diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri tetapi pendapat saya pelan tersebut memerlukan perincian yang lebih teliti.

Memang wajar untuk menawarkan latihan peningkatan kemahiran kepada mereka yang terjejas tetapi persoalan saya adalah apakah kemahiran tersebut?

Tidak cukup bagi Pemandu Pelancong untuk membawa bisnes mereka ke atas talian hanya dengan menggunakan aplikasi penstriman semata-mata.

Kemahiran yang perlu dipelajari adalah setara dengan mereka yang tersenarai dalam aplikasi terkemuka Airbnb Experiences dimana hos bukan sahaja dapat memberi penerangan berkenaan tempat pelancongan tetapi dapat berinteraksi dan berkongsi pengalaman dan kemahiran setempat seperti resipi masakan bersama pengguna.

Inilah tahap yang diperlukan untuk memastikan kelangsungan pendapatan pengusaha dalam sektor ini.

Harapan saya adalah mereka yang terjejas dapat mencari jalan keluar dan cuba berinovasi untuk memastikan mereka terus meraih pendapatan walaupun dalam normal baharu selepas ini.