Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin semalam (27 April) terdapat beberapa langkah penjimatan peringkat dalaman akan dilakukan, termasuklah pemotongan gaji sebanyak 50%. Ini adalah sebahagian daripada langkah berjimat cermat bagi mengekalkan aliran tunai perniagaan.
Tindakan ini berkuatkuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan syarikat, mengatakan bahawa pengurangan gaji adalah untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19 serta harga minyak yang rendah.
Langkah penjimatan ini merangkumi pelarasan semula gaji pekerja antara lima hingga 45% secara menyeluruh berkuatkuasa selepas Ramadhan. Ini juga termasuklah langkah pengurangan tenaga kerja.
TS Shahril mengakui keputusan itu mungkin sukar bagi segelintir pekerja, namun syarikat akan memastikan mereka yang berpendapatan rendah akan kurang dibebani oleh pemotongan tersebut.
Dia juga berpendapat landskap industri akan lebih sukar untuk membangun namun jika perniagaan mengekalkan daya tahan, maka perkara ini dapat diatasi dengan baik.