Seperti yang diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), didapati masih terdapat segelintir masyarakat yang ingkar kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Diperhatikan juga, penduduk zon hijau mulai mengambil mudah situasi tiada kes baharu yang dilaporkan, dan ini sememangnya merisaukan KKM.
KKM juga khuatir masyarakat alpa lalu mengambil mudah nasihat- nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan kerana memikirkan bahawa wabak ini hampir selesai.
Pada hakikatnya, peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini masih belum tiba ke penghujungnya.
Oleh itu, KKM menyeru kepada semua masyarakat termasuk mereka di kawasan yang diistiharkan sebagai zon hijau agar tidak leka dan kekal mematuhi PKP.
Virus COVID-19 adalah musuh kita bersama, namun harus diingat bahawa kelalaian dan sikap ambil mudah masyarakat pula adalah sekutu kepada virus ini.
Masyarakat juga perlu mengamalkan jarak sosial selamat (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain di samping mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.