Trend kes baharu COVID-19 sudah mula menunjukkan penurunan.
Rekod kes sepanjang beberapa hari lepas menunjukkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dimulakan pada 18 Mac sudah menunjukkan kesan positif.
Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menganggap perang terhadap COVID-19 sudah dimenangi.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sendiri menyatakan bahawa rakyat tidak seharusnya alpa atau mengambil mudah PKP susulan aliran penurunan kes.
“Tiga bulan sudah berlalu sejak kes pertama COVID-19 dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua petugas barisan hadapan dari semua agensi sudah bertungkus-lumus setiap hari dalam mengawal kejadian ini.
“Namun, KKM khuatir penurunan kes menyebabkan segelintir masyarakat alpa sebab memikirkan wabak ini hampir lalu ambil mudah kepentingan ikuti arahan PKP,” kata Dr Noor Hisham.
Bagi saya, kita sebagai rakyat harus terus menganggap perjalanan menentang COVID-19 ini masih ‘jauh’.
Ini bagi memastikan kita terus berdisiplin dalam bukan sahaja mematuhi PKP tetapi mengamalkan kebiasaan baharu atau ‘new normal’ seperti penjarakkan sosial.
Selagi vaksin belum lagi ditemui dan masih ada yang menjadi mangsa kepada COVID-19, usaha kita dalam perang ini tidak boleh dipandang mudah.
Lebih-lebih lagi dengan ketibaan bulan Ramadhan, kesempatan ini harus diambil untuk memastikan Malaysia terus maju dalam usaha kita memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
Akhir kata, selamat berpuasa dan beribadah di dalam bulan mulia ini.
Moga-moga kita terus dirahmati dan diberikan kemudahan oleh-Nya dalam bulan yang penuh berkat ini.