Artikel

KKM Seru Rakyat Kekal Di Rumah Sewaktu Ramadan, Demi Kesihatan Semua

Seperti yang sedia maklum, penularan pandemik COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia telah memberi kesan yang sangat ketara terhadap amalan dan norma kehidupan seharian kita.

Ini termasuklah perubahan kepada cara amalan keagamaan dan tradisi kebudayaan seperti budaya kunjung-mengunjung, perhimpunan keagamaan dan majlis keraian yang merupakan antara identiti unik masyarakat majmuk di negara ini. Tradisi dan amalan ibadat pada bulan Ramadan bagi umat Islam juga turut terjejas.

Mengambil iktibar penularan jangkitan COVID-19 dalam Kluster Pengerang dan Sub-kluster Rembau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada sidang media sebentar tadi telah meminta masyarakat untuk kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan elak daripada melakukan sebarang aktiviti kunjung mengunjung ke rumah rakan dan sanak saudara.

Saranan ini turut merangkumi perjalanan merentas negeri, daerah dan mukim atau menghadiri perhimpunan berskala besar (termasuk majlis keagamaan dan majlis keraian).

KKM khuatir sekiranya aktiviti seperti ini menjadi kelaziman rakyat Malaysia, ia akan mengakibatkan penularan jangkitan COVID-19 di kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak.

Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan peluang semasa bulan Ramadan dengan menjalankan aktiviti amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

Tindakan ini dapat sekali gus dapat membantu masyarakat menjaga dan melindungi ahli keluarga masing-masing.

Oleh itu, KKM menasihati orang ramai untuk sentiasa mengamalkan jarak sosial, sekurang-kurangnya satu (1) meter dari orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.