Sime Darby Property Bhd hari ini (22 April) telah mengumumkan barisan pengurusan kanan baharu.
Pelantikan baharu tersebut bermula dengan Datuk Azmir Merican Azmi Merican yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, jawatan tersebut berkuatkuasa serta-merta.
Azmir sememangnya memiliki prestasi yang baik dalam industri, merangkumi kepakarannya dalam transformasi organisasi, penyusunan semula perniagaan, kecekapan operasi dan kewangan korporat.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat selaku Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd.
Selepas pelantikan Azmir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri pula akan kembali memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Pembangunan kumpulan.
Sime Darby Property juga telah mengumumkan pelantikan Mohd Sohimin Mohd Alayedin, bekas Pengarah Eksekutif Tropicana Corporation Bhd, sebagai Ketua Pegawai Projek Khas.
Mohd Sohimin berpengalaman lebih dari 29 tahun dalam pembangunan dan pembinaan harta tanah, dan pernah memegang jawatan kanan di pelbagai syarikat termasuk Glenmarie Properties Sdn Bhd, anak syarikat DRB Hicom Bhd yang dimiliki sepenuhnya; Kumpulan Hartanah Selangor Bhd dan Sunway City Bhd.
Sime Darby Property seterusnya melantik Izzat Alhadjri sebagai Ketua Komunikasi Korporat, jawatan itu berkuatkuasa 1 April.