Artikel

Impak Harga Minyak Rendah Masih Dalam Unjuran MOF – Tengku Zafrul

Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) semalam (21 April), kesan kemerosotan harga minyak masih lagi berada dalam unjuran MOF.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Zafrul, MOF telah membuat pengiraan impak bagi penurunan harga minyak ini ke dalam anggaran defisit, iaitu lebih daripada 4% ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sekiranya harga minyak terus menurun di bawah anggaran purata tahunan, kerajaan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi mengimbangi kejatuhan pendapatan,” katanya.

MOF memahami perhatian umum pada ketika ini, memandangkan penurunan minyak dipengaruhi oleh faktor-faktor geopolitik global.

Namun, mengulas isu ini – Tengku Zafrul turut mengingatkan penting untuk semua mengetahui bahawa Malaysia memiliki pelbagai asas ekonomi.

Ini bagi memastikan pengukuhan dasar fiskal dan kewangan menjadi lebih baik untuk membangunkan daya tahan ekonomi negara.

Seperti semua ketahui, penanda aras minyak antarabangsa minyak mentah Brent semalam telah jatuh di bawah AS$ 20 setong. Angka tersebut terendah sejak tahun 2002, ini berikutan harga negatif yang belum pernah terjadi sebelumnya dicatat minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada hari Isnin.