Artikel

32% Kes Baharu Hari Ini Datang Dari Mereka Yang Pulang Ke Tanah Air

Pada 21 April, 57 kes baharu telah dicatat. 18 kes daripadanya adalah mereka yang pulang ke tanah air baru-baru ini.

Seperti yang telah dimaklumkan, dalam tempoh beberapa hari ini bilangan kes harian menunjukkan tren penurunan yang amat memberangsangkan.

Namun demikian, KKM telah mengesan sejumlah kes positif COVID-19 yang melibatkan rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara.

Perkara ini telah dijangka, memandangkan lebih daripada 180 buah negara di seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik COVID-19.

Justeru, tindakan mewajibkan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk ditempatkan di stesen kuarantin di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertepatan.

Dalam tempoh lebih dua (2) minggu sejak 3 April 2020, seramai 12,160 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantinkan.

Daripada jumlah tersebut, setakat ini 7,910 individu telah disampel di mana 77 kes positif COVID-19 dikesan (iaitu 0.97 peratus).

Tindakan proaktif ini telah menyaksikan peningkatan jumlah kes yang dilaporkan di negeri di mana mereka dikuarantinkan. Misalnya peningkatan 37 kes di Melaka, 32 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga (3) kes di Sarawak, tiga (3) kes di Johor, dan dua (2) kes di Selangor. Kes- kes positif ini telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.