Artikel

Adakah PKP 3 Ditamatkan Pada 28 April, Apa Tindakan KKM?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan misi memerangi penularan COVID-19 ini masih belum berakhir.

Jangkaan ‘peperangan’ ini hanya akan berakhir hingga tahun hadapan, iaitu 2021.

Susulan kenyataan itu, KP Hisham mengatakan pihak negara perlu memikirkan strategi bagaimana semua pihak dapat berkerjasama untuk memerangi jangkitan COVID-19 ini sehingga tahun hadapan.

Sebelum ini KP Hisham pernah berkata antara faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum mengakhiri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penurunan kes positif COVID-19 serta pengawasan terhadap penyakit seperti selesema (ILI) dan kes jangkitan pernafasan akut (SARI) yang teruk.

Namun, kini ILI dan SARI semakin berkurangan, ini menunjukkan virus juga telah berkurangan.

Melihat pada situasi sekarang, beberapa persoalan mula timbul di mana – bagaimana tindakan seterusnya akan dilakukan? Sekiranya tempoh PKP ini berakhir. Adakah kelakuan kita mampu dikekalkan?

Ini kerana, selagi mana negara tidak memiliki vaksin COVID-19, maka segala kebiasaan masyarakat Malaysia harus berubah, keadaan kini tidak akan sama lagi dengan kebiasaan kita seperti sebelum ini.

Hakikatnya, kita belum menang namun kita tidak kalah.

Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilanjutkan. Antaranya kita perlu melaksanakan penjarakkan sosial, kekal duduk di rumah, tiada urusan di khalayak ramai dan menggunakan khidmat penghantaran bagi tempoh masa yang lebih lama.

Tindakan ini sekaligus dapat menjamin rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat dimusnahkan.

STATUS TERKINI PERINTAH PERGERAKAN KAWALAN DIPERKETATKAN (PKPD)

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan telah mula dilaksanakan di beberapa lokasi yang berisiko tinggi sejak 27 Mac 2020. Langkah ini dapat membantu KKM dalam menjalankan aktiviti pendekatan tertumpu (targeted approach) untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 seperti bancian penduduk, Active Case Detection (ACD) rumah ke rumah, pengambilan sampel, aktiviti disinfeksi berkaitan dan promosi kesihatan. Bagi kes yang disahkan positif COVID-19, mereka akan diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga 20 April 2020, Kerajaan telah mengeluarkan sebanyak enam (6) arahan PKPD secara berperingkat melibatkan sebanyak sepuluh (10) lokaliti iaitu:

• Bandar Baru Ibrahim Majid;
• Kawasan di sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid;
• Kampung Sungai Lui;
• Kawasan di sekitar Kampung Sungai Lui;
• Menara Plaza City One;
• Malayan Mansion;
• Selangor Mansion;
• Masjid India dan kawasan sekitarnya;
• Terkini, di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur; dan
• Kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur

Hasil daripada pelaksanaan PKPD ini, sebanyak 13,277 sampel ujian pengesanan COVID-19 telah diambil di mana sebanyak 796 kes telah dikesan positif COVID-19. Terdapat lima (5) kes kematian COVID-19 dari kawasan ini iaitu kes ke-1114, kes ke-2627, kes ke-1649 dan kes ke-1251 dari Bandar Baru Ibrahim Majid dan kawasan di sekitarnya, serta kes ke-1906 dari Menara Plaza City One.