Artikel

Pengguna Kini Boleh Melakukan Pengeluaran Pelaburan Melalui myASNB

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini (20 April) mengumumkan kemudahan pengeluaran pelaburan secara dalam talian untuk tabung-tabung unit amanah terpilih di bawah portal myASNB.

Menerusi kemudahan ini, pemegang unit boleh mengeluarkan wang pelaburan dari mana-mana akaun unit amanah ASNB kecuali ASN Sara 2 dan ASN Equity 5. Jumlah tersebut seterusnya akan dipindahkan ke akaun bank pelabur yang didaftarkan di myASNB pada hari bekerja yang berikutnya.

Namun, kemudahan pengeluaran ini hanya dihadkan pada tiga kali transaksi setiap bulan dengan jumlah maksimum terkumpul sebanyak RM500 dari mana-mana akaun unit amanah ASNB pelabur.

Kemudahan ini bertujuan memastikan mereka kekal fokus terhadap objektif pelaburan, khususnya bagi mengimbangi keperluan kewangan semasa dan jangka panjang. Selain itu, pengeluaran tersebut juga dapat memberi lebih fleksibiliti kepada para pelabur dalam pengurusan pelaburan masing-masing.

Terdapat dua waktu pengeluaran dibenarkan iaitu Unit Amanah Harga Tetap pada jam 7:00 pagi hingga 6:00 petang dan Unit Amanah Harga Berubah pula pada jam 7:00 pagi hingga 4:00 petang waktu tempatan, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum.

Bermula 27 April juga, kemudahan pengeluaran dalam talian ini akan ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih myASNB.

Untuk maklumat lanjut, para pemegang unit boleh merujuk kepada soalan-soalan lazim di www.asnb.com.my atau menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan ASNB di talian 03 – 7730 8899.